MILAN, 9 APRIL – Lazio mengukuhkan cengkaman mereka di tempat kedua dalam Serie A dengan kemenangan mengagumkan 2-1 ke atas Juventus kelmarin, manakala Paulo Dybala mengetepikan Roma di belakang pesaing ibu kota mereka dengan satu-satunya gol di Torino.
Sergej Milinkovic-Savic dan Mattia Zaccagni menjaringkan gol yang membenamkan Juve dan memberi peluang besar kepada pasukan Maurizio Sarri untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan.
Dengan baki sembilan perlawanan, Lazio sekarang berada lima mata di depan Roma di tempat ketiga dan paling penting enam di hadapan Inter Milan, yang telah tersingkir daripada empat teratas selepas seri 1-1 di Salernitana baru-baru ini, satu-satunya mata yang berjaya dikumpulkan daripada empat perlawanan terakhir mereka.
Pasukan dari Rom itu layak memenangi perlawanan penuh debaran di Stadio Olimpico yang disudahkan oleh jaringan cemerlang Zaccagni tujuh minit selepas separuh masa.
Pemain sayap Itali, Zaccagni menjadi ancaman sepanjang malam dan menamatkan prestasi pasukan yang hebat dengan menyapu bersih gol ke-10nya musim ini melalui hantaran Luis Alberto.
“Kami semua sangat gembira kerana perlawanan malam ini sangat penting,” kata Zaccagni kepada DAZN.
“Walaupun pada minit-minit akhir, kami benar-benar tidak bolos langsung. Ia satu langkah besar ke hadapan. Menduduki tempat kedua adalah lebih penting daripada 10 gol saya.” – AFP


