ROM, 1 NOV – Lazio mencatat kemenangan bergaya 5-1 di tempat lawan menewaskan Como dalam saingan Serie A awal pagi tadi, sementara Roma memberikan sedikit kelegaan kepada jurulatih yang berada di bawah tekanan, Ivan Juric, dengan kemenangan 1-0 ke atas Torino, meskipun pasukan itu mendapat sorakan ejekan daripada penyokong sendiri sebelum perlawanan.
Lazio tampil yakin dengan penyerang Argentina, Valentin Castellanos, mencetak dua gol – satu daripadanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-28, dan satu lagi melalui aksi satu lawan satu dengan penjaga gol Como pada minit ke-81.
Pemain Sepanyol, Pedro dan Patric turut menyumbang gol kedua dan ketiga Lazio, sementara penyerang Perancis bawah 21 tahun, Loum Tchaouna, masuk sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk kelab ketika perlawanan hampir tamat.
Juric berdepan ketegangan dengan pemain selepas kekalahan besar 5-1 kepada Fiorentina hujung minggu lalu, yang menyaksikan penyokong Roma meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Bekas jurulatih Torino itu menyertai Roma pada September lalu selepas pemecatan Daniele De Rossi.
Taktik Juric berjaya membuahkan hasil apabila Paulo Dybala, yang bermain sebagai false nine, berjaya melepasi penjaga gol pada minit ke-20 untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan dari sudut sempit.
Dalam saingan lebih awal, Fiorentina meneruskan momentum kemenangan mereka hujung minggu lalu ke atas Roma dengan menewaskan Genoa 1-0, sekali gus melonjak ke kedudukan keempat, enam mata di belakang pendahulu liga, Napoli.
Pemain pertahanan Jerman, Robin Gosens pula berjaya menjaringkan gol pada lewat separuh masa kedua. Manakala bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea, mempamerkan beberapa aksi penyelamatan cemerlang untuk Fiorentina, dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. – AFP