MILAN, 1 MAC – Lazio kini mendahului carta Serie A selepas merekodkan kemenangan 2-0 pada Sabtu ke atas Bolongna dan sebanyak lima perlawanan liga terpaksa dibatalkan disebabkan kebimbangan mengenai penularan wabak COVID-19.
Jaringan separuh masa pertama dari Luis Alberto dan Joaquin Correa berjaya meletakkan Lazio dua mata di hadapan juara Serie A musim lepas, Juventus dan kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke-21 berturut-turut mereka.
Malang menimpa Bologna setelah gol mereka pada separuh masa kedua telah dibatalkan selepas penelitian dari VAR.
Perlawanan yang dijadual pada hari Ahad di antara Juventus dan pasukan di tempat ketiga, Inter Milan di Turin adalah antara perlawanan yang telah dibatalkan dan telah ditukar ke tarikh 13 Mac. Terdahulu, perlawanan tersebut dijadualkan akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong.
Itali merupakan negara yang paling teruk di Eropah yang dilanda jangkitan virus tersebut, dengan 900 kes dan 21 kematian telah dicatatkan, terutama di bandar-bandar yang terletak di bahagian Utara.
Keputusan tersebut diambil disebabkan ‘keadaan yang luar biasa dan demi melindungi kesihatan dan keselamatan awam’, menurut liga. Lazio yang telah bermain satu perlawanan lebih daripada Juventus manakala Inter Milan, ketinggalan lapan mata, mempunyai dua perlawanan bersama pendahulu setelah perlawanan mereka menentang Sampdoria minggu lalu juga telah ditangguhkan. – AFP
