KUALA LUMPUR, 30 April – LBS Bina Group Bhd (LBS) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemaju Terbaik pada majlis Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia (Malaysia) 2018.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata LBS turut merangkul anugerah bagi Kategori Pembangunan Perbandaran, Bertanah (Lembah Klang), Pembangunan Pasaran Massa (Kondominium), Pengiktirafan Khas Tanggungjawab Sosial Korporat dan Pengiktirafan Khas Pembangunan Lestari.
Walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar pada tahun lepas, syarikat itu berjaya mencatat pencapaian jualan tertinggi sejak penubuhannya 25 tahun lepas dengan menyediakan lebih 30,000 kediaman untuk rakyat Malaysia.
“Pengiktirafan daripada pihak industri ini hanya mengesahkan lagi strategi dan hala tuju kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab serta pemaju perbandaran,” kata Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Sistem penjurian bagi anugerah yang masuk edisi kelima penganjurannya, adalah di bawah seliaan pihak BDO Malaysia, firma audit dan perakaunan kelima terbesar dunia. – Bernama