Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    LCB, La Vida sokong Kempen DOA

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Majlis Pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) tidak ketinggalan menyokong Kempen Hari Bertindak (DOA) 2024 dengan aktiviti Rising Together: Empowering in Hearts for a Greater Future yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
     
    Acara yang diadakan dengan kerjasama La Vida Berhad di Bangunan Baharu LCB itu telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi LCB, Sivarajah Subramaniam. Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengurus La Vida Berhad, Dawn Lee.
     
    Pada hari ini, acara telah diisi dengan Sharing the Happiness with the Special Needs Community, di mana LCB telah menyediakan aktiviti yang menyeronokkan bagi komuniti berkeperluan khas dari La Vida Berhad.
     
    Antara aktiviti yang diadakan adalah Newspaper Runaway dimana kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas menghasilkan pakaian yang diperbuat daripada surat khabar dan seterusnya memperagakan di hadapan peserta lain.
     
    Selain itu, aktiviti nyanyian dan tarian memberi keceriaan kepada para peserta berkeperluan khas yang mana aktiviti berkenaan telah dipimpin oleh sukarelawan.
     
    Sementara itu, pada hari kedua, acara diisi dengan bengkel Empowering the Aspiring Entrepreneurs yang melibatkan pemilik perniagaan daripada golongan berpendapatan rendah di bawah program La Vida Berhad.
     
    Bengkel antara lain bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dari segi perniagaan dan menyokong keusahawanan sosial. 
     
    Para peserta akan didedahkan dengan aktiviti pemasaran media sosial, akaun dan profit-making yang disampaikan oleh pensyarah dari LCB, Dr Afiqah Amin dan Rohaizah.
     
    Antara lain tujuan acara berkenaan adalah untuk memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat Brunei dan menyebarkan kegembiraan untuk komuniti berkeperluan khas dan usahawan yang kurang berkemampuan di samping menyediakan peluang dan pengalaman sukarelawan untuk para belia. 
     
    Antara belia berkeperluan khas dari La Vida yang menyertai aktiviti membuat pakaian daripada kertas terbuang. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir pada acara itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Gambar ramai pada hari pertama acara sempena Kempen DOA 2024 berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda