Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Filipina dan Brunei, Kedutaan Republik Filipina di Bandar Seri Begawan pagi tadi menyumbangkan koleksi buku terkenal tentang masakan Filipina kepada Sekolah Masakan, Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) yang telah berlangsung di kolej berkenaan.
Sumbangan itu bertujuan untuk menambah koleksi buku perpustakaan kolej berkenaan khususnya dalam topik masakan dan kulinari Filipina yang lebih meluas.
Hadir semasa penyerahan buku berkenaan ialah Duta Besar Republik Filipina, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio dan Ketua Pegawai Operasi LCB yang juga merupakan Timbalan Pengetua LCB, Dr Sivarajah Subramaniam.
“Buku yang disumbangkan melambangkan sesuatu yang lebih besar. Ia mewakili persahabatan yang berkekalan antara Filipina dan Brunei, persahabatan yang berakar pada saling menghormati, persefahaman dan berkongsi pengalaman untuk makanan yang enak,” kata PYT Duta Besar Republik Filipina.
Beliau seterusnya berkongsi bahawa ‘buku-buku ini adalah jambatan yang menghubungkan kita dalam perjalanan persahabatan’.

Beliau juga berharap buku-buku tersebut akan dapat memberikan inspirasi kepada generasi cef akan datang bagi menunjukkan kreativiti dan mengekalkan tradisi masa lalu dan untuk menyebarkan cita rasa Filipina ke seluruh pelosok dunia.
Dr Sivarajah turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut, dengan menyatakan ucapan penghargaan kepada Kedutaan Republik Filipina.
Sumbangan itu menampilkan buku oleh Nicole Ponseca dan Miguel Trinidad bertajuk I Am a Filipino: And This Is How We Cook yang terletak pada kedudukan ke-39 dalam senarai 150 Buku Masakan Paling Ikonik oleh Taste Atlas pada tahun 2023. Buku berkenaan telah dinobatkan sebagai Buku Masakan Terbaik oleh The New Yorker, Boston Globe, Chicago Tribune, Los Angeles Times, New York Times Book Review, Houston Chronicles dan banyak lagi.
Antara buku lain yang pernah mendapat pengiktirafan ialah Simply Delicious, Kulinarya, Amboy dan Filipino-American Kitchen.
Turut disumbangkan ialah buku masakan yang dikeluarkan oleh institut terkenal Filipina seperti Maya Kitchen, Goldilocks Bakeshop dan Via Mare, serta cef Filipina seperti Nora Daza, Claude Tayag dan Reynaldo G Alejandro.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Eksekutif Pemasaran dan Pegawai HSE, April Lim; Pensyarah Perniagaan dan Hospitaliti LCB, Pengiran Mohd Aiman Safwan bin Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri; serta Setiausaha Ketiga dan Naib Konsul Kedutaan Republik Filipina, Jacqueline L Ong dan para jemputan khas.