LABUAN, 6 SEPT – Dewan Perniagaan Labuan (LCC) mengulangi komitmennya untuk menerajui kerjasama ekonomi di wilayah Borneo, sekali gus mengukuhkan hasrat dalam mengejar kemakmuran bersama.
Pengerusi LCC, Daniel Doughty berkata dengan semangat dan matlamat bersama untuk masa depan yang makmur, dewan perniagaan itu akan meningkatkan hubungan ekonomi serta memangkinkan tindakan bersama dalam wilayah Borneo.
“Sebagai antara rakan kongsi utama untuk pertumbuhan ekonomi Borneo, dewan perniagaan itu bertujuan menggalakkan kerjasama, perpaduan dan menjalin hubungan merentasi sempadan selain memupuk persekitaran yang kondusif untuk usaha kolaboratif.
“Mengakui peranan penting yang dimainkan oleh dewan perniagaan lain dalam memperjuangkan kemakmuran bersama, LCC berazam untuk mempromosikan dialog merentas sektor, pertukaran pengetahuan dan pemikiran inovatif, meletakkan asas untuk hari esok yang lebih cerah dengan wilayah Borneo berdiri bersatu dalam usahanya ke arah kecemerlangan ekonomi,” katanya ketika berucap pada hari penutupan Meja Bulat Perniagaan Borneo 2023 di Jakarta, Indonesia.
Beliau berkata antara kekuatan ketara Labuan terletak pada Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang mempunyai rangkaian luas hampir 5,000 syarikat berdaftar dan berlesen.
Doughty berkata syarikat-syarikat itu merangkumi pelbagai industri dan sektor, termasuk 68 bank luar pesisir dan pelaburan, 230 firma insurans dan berkaitan insurans serta lain-lain antaranya perkapalan, perdagangan dan perundingan. – Bernama


