INDIAN WELLS, 15 MAC – Perlawanan suku akhir antara juara bertahan Carlos Alcaraz dengan Alexander Zverev di Indian Wells terpaksa dihentikan secara tiba-tiba apabila sekumpulan lebah berkerumun menyebabkan pemain keluar dari gelanggang kelmarin.
Pemain nombor dua dunia, Alcaraz disengat dan dipaksa berundur oleh serangga itu sambil cuba menepis menggunakan raket serta tangannya sebelum mencari perlindungan.
Lebah-lebah itu mengerumuni kamera kawalan jauh ‘spider cam’ dan berkumpul di bawah kerusi pengadil, Mohamed Lahyani.
Alcaraz dan Zverev sudah keluar mencari perlindungan apabila Lahyani mengumumkan, “Tuan-tuan dan puan-puan, permainan dihentikan kerana pencerobohan lebah.”
Sementara penonton yang bingung kekal di tempat duduk, juruhebah gelanggang menerangkan bahawa seorang penternak lebah telah dihantar untuk mencuba menyelesaikan masalah tersebut.
Pada masa yang sama, pegawai kejohanan mula menunjukkan perlawanan suku akhir Coco Gauff menentang Yuan Yue dari China di papan mata dalam usaha untuk menghiburkan peminat yang hadir di gelanggang stadium.
Kedudukan seri 1-1 ketika perlawanan dihentikan dalam perlawanan ulangan suku akhir Terbuka Australia di mana Zverev menewaskan Alcaraz dalam empat set.
Ini bukanlah kali pertama perlawanan tenis utama diganggu oleh lebah.
Pada acara WTA 1000 di Guadalajara pada tahun 2022, perlawanan hari pembukaan antara Petra Kvitova dan Bernarda Para telah ditangguhkan kerana penternak lebah menangani sekumpulan lebah yang melekat pada kerusi pengadil. – AFP