Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar
KUALA PILAH – Sebut sahaja madu kelulut, pasti semua tahu dan membayangkan mengenai lebah kecil yang hanya berperanan menghasilkan madu.
Namun, tidak semua tahu bahawa lebah kelulut turut mempunyai peranan besar iaitu menjadi ‘jurutera’ kepada kelestarian dan kekayaan sumber flora dan fauna hutan di negara ini.
Pengusaha madu kelulut, Azril Dino Abd Malik, 40, berkata lebah kelulut atau dikenali sebagai ‘stingless bee’ berperanan sebagai agen pendebungaan bagi memastikan pokok-pokok termasuk buah-buahan, bunga dan sayuran kekal tumbuh di dalam hutan.
Katanya, meskipun lebah kelulut kini telah mula ‘dieksport’ keluar daripada habitatnya untuk dijadikan sebagai produk komersial melalui penghasilan madunya, namun ia tidak boleh dilakukan secara besar-besaran, yang akhirnya menyebabkan kepupusan sumber flora dan fauna khususnya pokok balak yang menjadi tunjang kepada kekuatan alam.
Dianggarkan, hampir 150 spesies kelulut terdapat di seluruh dunia seperti Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica dan Trigona itama.


Menjaga kelestarian alam
“Lebah ini bukan hanya menjana madu sahaja, tapi dia juga menjaga kelestarian alam. Lebah ini sangat bagus dari segi pendebungaan. Pokok balak di hutan adalah hasil kerja lebah kelulut dan kalau kita keluarkan semua lebah ini daripada hutan dan kampung, pokok-pokok balak dan buah-buahan untuk hidupan liar di hutan tidak akan ada lagi.
“Cara kita tebang pokok dan bawa keluar koloni (sarang kelulut) adalah tak bagus untuk ekologi. Dalam tempoh 30 tahun, mungkin lebah kelulut sudah pupus. Kepupusan lebah ini akan memberi impak kepada ekosistem kita,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Madu kelulut dikatakan mempunyai pelbagai khasiat jika dibandingkan dengan madu lebah dan ini turut menjadikan ia sebagai sumber kekayaan baharu negara selain menyaksikan pertumbuhan industri berkenaan semakin berkembang.
Menjelas lanjut, bapa kepada dua orang anak itu dan merupakan siswazah lepasan Universiti Charles Sturt, Australia, berkata bagi memastikan kelestarian ekologi yang mampan, pihaknya telah mengeluarkan kotak ‘technohive’, iaitu kotak yang di dalamnya menyerupai seperti yang ada dalam tunggul kayu, yang menjadi sarang kepada lebah kelulut.
“Technohive ini boleh hasilkan madu dengan lebih cepat dan kita dapat gandakan koloni dengan semula jadi tanpa perlu tebang pokok. Madu kelulut mempunyai ciri unik seperti sedikit masam dan cair berbanding madu biasa yang lain,” katanya dan menambah kotak berkenaan dijual antara RM1,200 hingga RM1,600 seunit bergantung kepada spesies, dan ia boleh bertahan sehingga 10 tahun.
Telah berkecimpung selama lima tahun dalam penternakan lebah kelulut dan menjana pendapatan lumayan selepas berhenti kerja daripada sebuah syarikat teknologi maklumat di Kuala Lumpur, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata proses membawa lebah kelulut bersama ratunya perlu dilakukan secara berhati-hati pada sebelah malam bermula pukul 7 sehingga dinihari.
“Ini memandangkan ketika itu, lebah berkenaan berada di dalam sarangnya dan tidak akan keluar,” katanya yang setakat ini memiliki lima pekerja di enam lokasi penternakan lebah kelulut di bawah jenama ‘Dinokelulut’ yang kesemuanya terletak di Ulu Bendol, Terachi, Tanjung Ipoh, Batu Kikir.
Azril Dino berkata dalam keghairahan sesetengah pihak menceburi bidang ini demi meraih pendapatan yang tinggi, ia juga perlulah disulami dengan ilmu pengetahuan dan tidak hanya sekadar mengeluarkan modal sahaja.
Memulakan perniagaan itu dengan modal sekitar RM180,000 untuk membeli 300 koloni yang berharga RM600 setiap satu, beliau kini mampu meraih pendapatan sekitar RM20,000 sebulan, hasil penjualan madu.
“Ramai usahawan berjaya telah dilahirkan memandangkan industri madu kelulut kian berkembang malah produk berkenaan kini mula diterima ramai.
“Namun, penjagaan alam dan fungsi lebah kelulut mestilah diberikan keutamaan dalam kita mengejar pendapatan tinggi,” katanya.
Azril Dino berkata setakat ini, Dinokelulut mampu mengeluarkan 100 kilogram madu sebulan, namun ia bergantung kepada faktor cuaca dan telah menjadi pembekal kepada sebuah hotel di Kuala Lumpur serta pengedar kepada beberapa negara antaranya Singapura, Amerika dan juga Eropah.
Beroperasi tanpa kedai dan memproses madu terus dari ladang, beliau berkata pihaknya menawarkan produk madu kelulut mampu milik. – Bernama