Wednesday, November 27, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebah lindungi kebun petani daripada serangan gajah

    VOI, KENYA – “Kami dahulu amat membenci gajah,” kata petani Kenya Charity Mwangome, berhenti sejenak daripada kerjanya di bawah pokok baobab.

    Lebah yang berdengung di latar belakang adalah sebahagian daripada sebab mengapa kebencian terhadap gajah telah berkurangan.

    Lelaki kecil berusia 58 tahun itu berkata gajah rakus sering memusnahkan kerja berbulan-bulan di tanah ladangnya yang terletak di antara dua kawasan Taman Negara Tsavo yang terkenal di dunia di Kenya.

    Disayangi pelancong – yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kenya – haiwan itu dibenci oleh kebanyakan petani tempatan, yang membentuk tulang belakang ekonomi negara.

    Pemuliharaan gajah telah menjadi satu kejayaan besar: bilangan gajah di Tsavo meningkat daripada kira-kira 6,000 ekor pada pertengahan 1990an kepada hampir 15,000 pada 2021, menurut Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS).

    Mwanajuma Kibula (kanan) dibantu Loise Kawira menjalankan pemeriksaan rutin ke atas sarang lebah yang dipasang di pagar ladang pekebun di bandar Voi. – AFP
    Seorang pembantu menyediakan asap lebah untuk Loise Kawira berhampiran bandar Voi di Taita Taventa County. – AFP
    Hendrita Mwalada menunjukkan bagaimana dia menggunakan cebisan kain yang dilumuri minyak enjin kitar semula dan lada sulah di pagar ladangnya di bandar Voi. – AFP
    Sekumpulan gajah dan anak-anak tiba di kolam air di Taman Hidupan Liar Ngutuni di pinggir bandar Voi. – AFP
    Charity Mwangome membajak tanah ladangnya menggunakan cangkul bersebelahan salah satu sarang lebah di pagar ladangnya. – AFP

    Namun populasi manusia juga meningkat, menceroboh laluan ladang ragut dan penghijrahan untuk haiwan ternakan.

    Pertarungan yang meletus menjadi punca utama kematian gajah, kata KWS.

    Menolak bayaran pampasan apabila dia kehilangan hasil tanamannya, Mwangome mengakui dia marah dengan penyokong pemuliharaan.

    Tetapi projek yang telah lama dijalankan oleh badan amal Save the Elephants menawarkannya penyelesaian yang dirasakan tidak mungkin – menghalang serangan beberapa haiwan terbesar alam semula jadi dengan haiwan paling kecil, iaitu lebah madu Afrika.

    Pagar sarang lebah kuning kini melindungi beberapa ladang tempatan, termasuk yang dimiliki Mwangome.

    Kajian sembilan tahun yang diterbitkan bulan lalu mendapati gajah-gajah 86 peratus mengelak ladang dengan lebah ganas pada masa itu.

    “Pagar sarang lebah telah menyelamatkan kami,” kata Mwangome.

    Bunyi dengungan 70,000 lebah sudah cukup membuat kebanyakan gajah melarikan diri, termasuk seekor gajah seberat enam tan, tetapi Loise Kawira dengan tenang mengeluarkan dulang di dalam apiarinya untuk menunjukkan lingkaran lilin dan madu yang kompleks.

    Kawira, yang menyertai Save the Elephants pada 2021 sebagai perunding penternak lebah mereka, melatih dan memantau petani dalam projek itu.

    Projek berkenaan menyokong 49 petani, dengan petak kebun mereka dikelilingi oleh 15 sarang yang saling bersambung.

    Masing-masing digantung pada wayar yang dilumuri minyak beberapa meter dari tanah, yang melindungi mereka daripada bejar dan serangga, tetapi juga bermakna ia akan bergegar apabila diganggu oleh gajah yang kelaparan.

    “Apabila gajah mendengar bunyi lebah dan baunya, haiwan itu akan melarikan diri,” kata Kawira kepada AFP.

    “Ia mengganggu interaksi antara gajah dan lebah,” tambah Ewan Brennan, penyelaras projek tempatan.

    Ia terbukti berkesan, tetapi kemarau baru-baru ini, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, telah menimbulkan cabaran.

    “(Dalam) keadaan panas terik dan kering, lebah telah melarikan diri,” kata Kawira.

    Ia juga mahal, berharga kira-kira 150,000 syiling Kenya (AS$1,100) untuk memasang sarang – jauh melebihi kemampuan petani sara diri, walaupun penganjur projek mengatakan ia masih lebih murah daripada pagar elektrik.

    ‘SAYA AKAN MATI’

    Sejurus selepas AFP tiba di ladang Mwanajuma Kibula, yang bersempadan dengan salah satu taman Tsavo, pagar sarang lebahnya telah mengusir seekor gajah.

    Haiwan seberat lima tan itu, kulitnya berlumuran lumpur merah, berderam-derum memasuki kawasan itu dan kemudian keluar secara tiba-tiba.

    “Saya tahu tanaman saya dilindungi,” kata Kibula dengan rasa lega.

    Kibula, 48, juga menuai madu dua kali setahun dari sarangnya, menjana pendapatan sebanyak 450 syiling setiap balang – cukup untuk membayar yuran sekolah untuk anak-anaknya.

    Dia bernasib baik kerana mendapat perlindungan daripada mamalia darat terbesar di Bumi.

    “Seekor gajah merobek bumbung saya, saya terpaksa bersembunyi di bawah katil kerana saya tahu saya akan mati,” kata seorang jiran yang kurang bernasib baik, Hendrita Mwalada, 67.

    Bagi mereka yang tidak mampu membeli lebah, Save the Elephants menawarkan penyelesaian lain, seperti pagar kepingan logam yang mengeluarkan bunyi keletak apabila digoncang oleh gajah yang datang, dan kain yang direndam diesel atau cili menghalang ia daripada masuk.

    Namun ia selalunya tidak mencukupi.

    “Saya telah mencuba bercucuk tanam tetapi setiap kali tanaman sudah bersedia, gajah datang dan memusnahkannya,” kata Mwalada kepada AFP.

    “Itulah kisah hidup saya, kehidupan yang dibelenggu pergelutan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda