AURILLAC, 8 JULAI – Serangan luar biasa sekumpulan lebah di bandar Aurillac, selatan tengah Perancis mengakibatkan 24 orang cedera, termasuk tiga mangsa yang pada awalnya berada dalam keadaan kritikal sebelum dilaporkan stabil.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Wilayah Cantal, insiden berlaku selama kira-kira 30 minit pada pagi Ahad lalu ketika orang awam melalui kawasan pusat bandar berkenaan. Pasukan bomba dan perubatan dikerahkan ke lokasi bagi memberi rawatan kecemasan kepada mangsa, manakala pihak polis menutup kawasan kejadian sehingga serangan lebah reda.
Tiga mangsa yang pada mulanya dilaporkan kritikal telah dibawa ke hospital tempatan. Datuk Bandar Aurillac, Pierre Mathonier, memaklumkan kepada siaran BFM TV bahawa ketiga-tiga mangsa kini menunjukkan perkembangan positif.
“Salah seorang mangsa ialah individu berusia 78 tahun yang mengalami serangan jantung dan terpaksa diberi bantuan. Kini, beliau berada dalam keadaan stabil,” katanya. Dua lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Mathonier menjelaskan, insiden dipercayai berpunca daripada gangguan tebuan Asia terhadap sebuah sarang lebah yang telah dipasang di atas bumbung hotel di pusat bandar lebih sedekad lalu, menyebabkan lebah menjadi agresif.
Beliau turut memaklumkan bahawa penternak lebah berkenaan telah memindahkan sarang tersebut ke kawasan luar bandar bagi mengelakkan insiden berulang.
Sementara itu, Leftenan Kolonel Michel Cayla daripada perkhidmatan bomba tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan pertama kali dialami sepanjang kerjayanya.
“Daripada jumlah mangsa, keadaan panik dalam kalangan orang ramai, serta tahap kecederaan – insiden ini sangat luar biasa,” katanya kepada saluran TF1. – AP