Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lebam bertinju, Adlin tonjol karakter dinamik

    Tak kisah tubuhnya lebam-lebam bertinju, aktor berkaliber, Adlin Aman Ramlie, 50, amat merindui membintangi filem bergenre aksi.

    Lamaran membintangi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif umpama bulan jatuh ke riba apabila hampir tiga tahun tidak muncul di layar perak.

    Adlin berkata, dia melakonkan watak antagonis, Samat yang juga ketua penjenayah dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

    “Samat adalah ketua yang menjalankan misi bersama Sabri Yunus. Filem ini menampilkan aksi pergaduhan yang penonton tidak pernah lihat saya lakonkan sebelum ini.

    “Saya tidak merujuk kepada sesiapa, sebaliknya ia mengikut idea dan kreativiti sendiri.

    Adlin berdepan pelbagai cabaran ketika berkampung lebih tiga minggu di Pulau Langkawi ketika menjalani penggambaran di lautan. – Agensi

    “Saya hanya menonjolkan karakter Samat sebagai seorang yang dinamik, ada pesona dan energi. Gaya saya berlakon memang konsisten sejak dulu sampai kini,” katanya kepada BH Online.

    Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menampilkan gandingan Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

    Selain itu, filem itu turut dibintangi Datuk Fizz Fairuz, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

    Mengulas babak paling mencabar, kata Adlin, dia perlu melakonkan babak pergaduhan di pulau dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul) dalam filem itu.

    “Saya menjalani latihan ‘fighting’ dengan bimbingan koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran. Selain itu, sesi latihan dijalankan di studio.

    “Babak pergaduhan antara aksi berterusan. Ia membabitkan banyak percubaan untuk mendapatkan babak menarik, jadi setakat tubuh lebam-lebam perkara biasa,” katanya.

    Adlin berkata, dia menerima tawaran berlakon kerana tertarik dengan naskhah itu. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...