Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan, petang ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tahunan persatuan berkenaan ialah Naib Yang Di-Pertua, PENJURU, Hajah Asmah binti Haji Omar.
Turut hadir bagi sama-sama meraikan majlis tersebut ialah ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli PENJURU serta ahli keluarga masing-masing dari hospital, klinik kerajaan dan bukan kerajaan.
Pelbagai juadah makanan telah disediakan untuk dinikmati bersama seperti nasi hujan panas, rendang daging, nasi himpit, kuah kacang dan ayam masak merah serta pelbagai jenis kuih-muih tradisional dan moden.
Acara turut diserikan dengan pelbagai persembahan, antaranya seni nyanyian, seni tarian dan juga cabutan hadiah bertuah.
Meskipun majlis diadakan dengan kesederhanaan namun kemeriahannya cukup dirasai dengan ahli persatuan berserta ahli keluarga masing-masing saling mengeratkan silaturahim di samping peluang berkenalan dan beramah mesra dengan pihak-pihak berkepentingan.
Selain itu, majlis seumpama ini juga dihasratkan untuk terus menyemai rasa hormat-menghormati, ihsan dan perpaduan sesama ahli persatuan, sekali gus menghayati nilai-nilai teras yang ditekankan dalam kehidupan seharian.