Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1.5 juta jemaah tunai ibadah haji di Mekah

    MEKAH, 12 JUN – Jemaah haji Islam telah membanjiri kota suci Arab Saudi, Mekah menjelang permulaan ibadah haji pada akhir minggu ini.

    Pegawai Saudi berkata lebih 1.5 juta jemaah haji telah tiba di negara itu kelmarin, sebahagian besarnya melalui udara dari seluruh dunia.

    Lebih ramai lagi dijangka tiba dan ratusan ribu rakyat Saudi dan yang tinggal di Arab Saudi juga akan menyertai mereka apabila haji secara rasmi bermula pada Jumaat.

    Pegawai Saudi berkata mereka menjangkakan jumlah jemaah haji tahun ini melebihi 2023, apabila lebih 1.8 juta orang menunaikan haji, menghampiri tahap pra-pandemik. Pada 2019, lebih 2.4 juta umat Islam menunaikan ibadah haji.

    Jemaah haji termasuk 4,200 rakyat Palestin dari Tebing Barat yang tiba di Mekah awal bulan ini, menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin. Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza tidak dapat pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, kerana perang selama lapan bulan antara Israel dan Hamas.

    Kelmarin, jemaah haji memenuhi Masjidilharam di Mekah, melakukan tawaf dengan berjalan tujuh kali mengelilingi Kaabah.

    Mereka memakai pakaian ihram iaitu dua helai kain putih tidak berjahit yang menyerupai kain kafan.

    Ramai dilihat membawa payung untuk berlindung daripada cahaya matahari, apabila suhu mencecah 42 darjah Celsius pada siang hari, kelmarin. – AP

    Umat Islam menunaikan solat di Masjidilharam di Mekah, Arab Saudi, pada 11 Jun. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda