GENEVA, 13 JUN – Perikatan vaksin Gavi berkata hari ini bahawa ia telah membantu menyediakan vaksin rutin kepada lebih satu bilion kanak-kanak sejak ia ditubuhkan 23 tahun lalu, menyelamatkan berjuta-juta nyawa.
Di samping itu, organisasi yang berpangkalan di Geneva itu berkata dalam laporan aktiviti bahawa ia telah memberikan berbilion-bilion suntikan semasa kempen khas dan kecemasan, termasuk semasa pandemik COVID.
Secara keseluruhan, organisasi yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu menyediakan pelbagai vaksin kepada negara membangun berkata, ia telah membantu menyediakan kira-kira enam bilion vaksin di seluruh dunia, melindungi kanak-kanak dan orang dewasa daripada 19 penyakit berjangkit.
Perkongsian awam-swasta, yang menghimpunkan negara membangun dan kerajaan penderma, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Bank Dunia, industri vaksin, Yayasan Bill & Melinda Gates dan lain-lain itu, memberikan tumpuan ke utama kepada vaksin kanak-kanak.
Program vaksin rutinnya, katanya, telah menyediakan imunisasi kepada lebih satu bilion kanak-kanak, membantu mengurangkan separuh kematian kanak-kanak di 73 negara berpendapatan rendah, dan telah mengurangkan kira-kira 17 juta kematian.
Mengenai masa depan, ia berkata bahawa mereka sedang dalam proses untuk memberikan imunisasi kepada 300 juta kanak-kanak antara tahun 2021 dan 2025, mengurangkan tujuh hingga lapan juta kematian tambahan.
Gavi menekankan mengenai kesan buruk yang dialami oleh pandemik COVID terhadap vaksinasi rutin di seluruh dunia, dengan penurunan liputan lima peratus antara tahun 2020 dan 2021.
Tetapi menurutnya, data awal menunjukkan pemulihan imunisasi rutin tahun lepas, dengan liputan di seluruh negara pelaksana program Gavi meningkat sebanyak tiga peratus, membantu tahap liputan ‘menghampiri garisan matlamat mereka.’ – AFP


