NAIROBI, 24 MEI – Lebih sejuta rakyat Somalia telah kehilangan tempat tinggal di negara mereka sendiri dalam tempoh empat bulan sahaja melalui krisis kemarau, konflik dan banjir, kata agensi kemanusiaan hari ini.
Kira-kira 433,000 orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka antara 1 Januari dan 10 Mei ketika pemberontakan Islam meletus dan pertempuran berlaku di wilayah Somaliland, kata agensi pelarian PBB UNHCR dan Majlis Pelarian Norway (NRC).
Di samping itu, ‘lebih 408,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir yang melanda kampung mereka dan 312,000 orang lagi kehilangan tempat tinggal akibat kemarau,’ menurut kenyataan.
Somalia dan jirannya termasuk Ethiopia dan Kenya telah mengalami kemarau paling teruk dalam empat dekad selepas lima musim tanpa hujan yang menyebabkan berjuta-juta orang memerlukan bantuan selain memusnahkan tanaman dan ternakan.
Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan kerajaan dunia bertemu pada persidangan di New York hari ini untuk mendapatkan pembiayaan sebanyak AS$7 bilion untuk membantu mereka yang memerlukan di seluruh rantau ini.
Sekurang-kurangnya 43.3 juta orang memerlukan bantuan di Afrika, kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA minggu lalu.
Jumlah orang yang dipindahkan di sempadan Somalia kini berjumlah 3.8 juta, dengan 6.7 juta orang bergelut untuk mencari makanan, menurut UNHCR dan NRC. – AFP


