Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 13 orang peserta berumur 12 hingga 40 tahun telah menyertai Bengkel Bahasa Isyarat Jari-Jari Ku yang diadakan di Kiulap, kelmarin, bagi mendalami pengetahuan dan kemahiran untuk berkomunikasi dengan individu-individu kurang pendengaran.
Bengkel anjuran BD Creative Centre dan Jari-Jari Ku itu dikendalikan oleh seorang ahli Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP) dan Persatuan Pendidikan Khas Brunei Darussalam, Dr Hajah Norbayah binti Haji Shaminan.
Para peserta telah mempelajari tentang sensitiviti budaya dan telah mengakhiri bengkel dengan harapan untuk mempromosi dan menyebarkan kesedaran tentang komuniti orang-orang kurang pendengaran di negara ini. Bengkel itu telah disokong oleh Persatuan Pendidikan Khas Brunei Darussalam dan Persatuan OKP.