KARACHI, 3 JUN – Lebih 100 orang banduan telah melarikan diri dari sebuah penjara dan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan di bandar selatan Pakistan, Karachi, malam kelmarin.
Kejadian itu berlaku selepas mereka dipindahkan dari sel buat sementara waktu, berikutan gegaran gempa bumi lemah, kata seorang pegawai kelmarin.
Menurut seorang pegawai kanan polis, Kashif Abbasi, seramai 216 banduan melarikan diri dari penjara di wilayah Sindh sebelum subuh.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 78 telah berjaya ditahan semula dan tiada banduan yang disabitkan kesalahan atau sedang dibicarakan atas tuduhan berkaitan militan termasuk dalam kalangan yang melarikan diri.
Susulan kejadian itu, seorang banduan telah terbunuh, manakala tiga anggota keselamatan cedera dalam kejadian tembak-menembak.

Namun, keadaan kini terkawal, kata Abbasi.
Polis masih lagi menjalankan operasi bagi mengesan baki banduan yang masih bebas.
Menteri Dalam Negeri Wilayah Sindh, Ziaul Hassan, berkata kejadian berlaku selepas banduan dipindahkan dari sel masing-masing atas faktor keselamatan semasa gempa bumi.
Ketika banduan masih berada di luar sel, sekumpulan daripada mereka menyerang pengawal, merampas senjata dan melepaskan tembakan, lalu melarikan diri.
Meskipun terdapat kes dimana banduan melarikan diri semasa dalam perjalanan ke mahkamah untuk perbicaraan, tetapi kejadian melarikan diri daripada penjara jarang berlaku di Pakistan.
Menurut Pusat Pemantauan Seismik Kebangsaan, daerah Karachi turut dilaporkan mengalami beberapa gempa bumi cetek dan lemah dalam tempoh 24 jam lalu, dengan magnitud antara 2.6 hingga 3.4. – AP