Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 barangan elektrik, elektronik dirampas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) menerusi pemeriksaan rutin harian di pos-pos kawalan dan gerakan Gabungan Operasi Laut Darat (GOLD) telah berjaya merampas beberapa komoditi yang tidak diisytiharkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hari ini, pada 22 Julai lalu di Pos Kawalan Sungai Tujoh, Kuala Belait, JKED telah berjaya merampas sebanyak 51 unit monitor dan 65 unit kipas angin yang tidak diisytiharkan.

    Sementara itu, pada 23 Julai di Kompleks Pemeriksaan Kontena, Cawangan Muara dan kawasan pemeriksaan Guardhouse, Pelabuhan Muara, JKED telah berjaya menahan beberapa barangan komersial yang tidak diisytiharkan antaranya ialah satu unit kabinet bateri, satu unit Sistem UPS, suplemen makanan, kaca mata dan peralatan permainan elektronik.

    JKED melalui gerakan GOLD yang dijalankan pada 24 Julai di sebuah premis restoran tertutup di Kota Batu telah menahan seorang lelaki penduduk tetap, empat orang lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan serta 15 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara asing yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 65 tahun, yang disyaki memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu 34 botol dan 135 tin minuman keras pelbagai jenis serta empat paket dan 75 batang rokok pelbagai jenis.

    Kesemua barang serta pihak syarikat-syarikat ejen kastam dan mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Anggerek Desa untuk siasatan lanjut.

    Antara barangan elektrik yang tidak diisytiharkan telah dirampas oleh JKED semasa peme-riksaan rutin. – Gambar serahan JKED
    Antara barang tegahan kastam iaitu pelbagai jenis minuman keras dan rokok turut dirampas di sebuah premis restoran tertutup di Kota Batu.

    JKED mengingatkan syarikat-syarikat ejen kastam bahawa membawa masuk barang-barang komoditi komersial dan persendirian ke negara ini tanpa mengikrarkan kepada pegawai kastam adalah menjadi kesalahan di bawah Perintah Kastam 2006 dan Perintah Eksais 2006.

    Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $5,000 atau didakwa di mahkamah dan lesen ejen mereka boleh dibatalkan.

    JKED juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan juga larangan.

    Memiliki barang-barang tegahan kastam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED juga mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi maklumat berkaitan apa juga kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat Kastam yang berdekatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda