Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 burung hering mati akibat keracunan di Afrika

    CAPE TOWN, 8 MEI – Sekurang-kurangnya 123 burung hering mati di taman negara utama Afrika Selatan selepas memakan bangkai seekor gajah yang telah diracun oleh pemburu haram menggunakan racun perosak pertanian, menurut pihak berkuasa taman dan satu kumpulan pemuliharaan haiwan hari ini.

    Sebanyak 83 burung hering lain yang berjaya diselamatkan dari lokasi kejadian telah dibawa untuk rawatan menggunakan helikopter atau ambulans khas untuk burung hering dan kini sedang dalam proses pemulihan.

    Kejadian keracunan besar-besaran ini merupakan antara yang terburuk pernah berlaku di Taman Negara Kruger yang terkenal di utara Afrika Selatan, kata SANParks, agensi taman negara negara itu.

    Burung hering memainkan peranan penting dalam ekosistem hidupan liar kerana kerja pembersihan yang dilakukan dengan memakan bangkai haiwan.

    Namun, sifat ini juga menjadikan spesis haiwan ini sangat terdedah kepada keracunan, sama ada secara sengaja atau akibat pembunuhan haiwan lain oleh pemburu haram.

    Gambar fail sepasang burung hering Cape di Boekenhoutkloof, Afrika Selatan, pada 22 September 2011. – AP

    Ratusan burung hering lazimnya akan berkumpul untuk memakan satu bangkai.

    Menurut kenyataan bersama SANParks dan Endangered Wildlife Trust, gajah tersebut dipercayai telah diracun oleh pemburu haram di kawasan terpencil taman itu untuk mendapatkan bahagiannya bagi perdagangan haram hidupan liar.

    Banyak spesies burung hering di Afrika kini dalam ancaman kepupusan akibat keracunan. Burung yang terjejas dalam kejadian ini termasuk burung hering Cape, burung hering muka-berlipat yang terancam, serta burung hering belakang-putih dan berhud yang dikategorikan kritikal.

    “Kejadian mengerikan itu merupakan sebahagian daripada krisis yang sedang berlaku di seluruh selatan Afrika: peningkatan penggunaan racun dalam pemburuan haram,” kata SANParks dan Endangered Wildlife Trust. “Pemburu haram kini semakin kerap menggunakan racun pertanian untuk menyasarkan spesies bernilai tinggi.”

    Pertubuhan pemuliharaan burung hering, Vulpro yang tidak terlibat dalam operasi menyelamat berkata kejadian ini berlaku pada permulaan musim pembiakan dan banyak lagi burung yang tidak dijumpai di lokasi, kemungkinan turut terjejas. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda