NIGERIA, 4 OKT – Lebih 100 orang dikhuatiri maut selepas sebuah bot yang kebanyakannya membawa wanita dan kanak-kanak karam di Nigeria, kata pekerja penyelamat ketika mereka mengeluarkan lebih ramai mayat dari Sungai Niger kelmarin.
Kira-kira 300 penumpang sedang dalam perjalanan untuk menyambut perayaan Maulud di utara-tengah negara Niger apabila kemalangan itu berlaku pada Selasa, kata agensi kecemasan negeri itu.
Seramai 36 mayat kini telah ditemui dan 150 mangsa berjaya diselamatkan, kata jurucakap Ibrahim Audu Husseini kepada AFP.
“Kami telah menemui 20 lagi mayat hari ini. Ini menjadikan jumlah mayat yang ditemui kepada 36,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada kemungkinan untuk menemui mangsa lain yang masih hidup, katanya. “Tidak mungkin seseorang boleh bertahan selama tiga hari di bawah air. Kerja sekarang adalah untuk mencari semua mayat yang hilang.”
Agensi itu tidak menyatakan punca kejadian bot karam di komuniti Gbajibo, dekat Mokwa, tetapi berkata ia berlaku selepas gelap sekitar 8:30 malam.
Kemalangan bot merupakan perkara biasa di laluan air Nigeria yang tidak dikawal dengan baik, terutamanya semasa musim hujan apabila sungai dan tasik melimpah.
Pihak berkuasa laluan air Nigeria sebelum ini telah berusaha melarang perjalanan waktu malam di sungai dan menyatakan bahawa muatan berlebihan adalah satu jenayah, tetapi kru sering melanggar peraturan itu.
Bulan lalu, sebuah bot yang lebih muatan karam ketika membawa lebih 50 petani merentasi Sungai Gummi di Negeri Zamfara. Lebih 40 orang dipercayai telah meninggal dunia. – AFP