SYDNEY, 21 MAC – Lebih 100 warga Australia dipindahkan dari sebuah bandar di utara Australia setelah banjir teruk akibat taufan tropika Megan yang dijangka melanda hari ini.
Penduduk-penduduk bandar kecil Borroloola itu telah diterbangkan oleh Angkatan Pertahanan Australia, (ADF) ke Darwin yang terletak lebih 970 kilometer (600 batu) jauhnya.
Pemindahan berlaku selepas 700 penduduk terkandas ketika kawasan itu dilanda taufan pada Selasa lepas.
Ribut itu menyebabkan kerosakan serta-merta yang minimum, tetapi Sungai McArthur yang berdekatan dijangka mencatat kenaikan paras air mencecah 18 meter, tiga meter melebihi rekod pada 2001, menurut Biro Meteorologi.
“Selepas ADF mendarat di Darwin pada tengah malam, lebih 100 penduduk Borroloola berjaya diselamatkan daripada banjir,” kata Senator Wilayah Utara, Malarndirri McCarthy.
“Lebih banyak pesawat dijangka tiba di Borroloola hari ini bergantung kepada cuaca dan paras air,” tambahnya.
Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara, Michael Murphy berkata walaupun beberapa rumah akan dinaiki air, terdapat juga beberapa kawasan komuniti di mana penduduk yang tidak dipindahkan boleh berlindung dengan selamat. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/03/P19-A-web-freepik_22032024.jpg)