Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Lebih kurang 100 orang guru sekolah agama Kawasan Brunei I diraikan dengan Majlis Sambutan Hari Guru anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei I di Mahligai Al-Barakah Ballroom, Mid Valley, Kampung Salambigar, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei I, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Siti Halimatul Saadiah binti Haji Wahsalfelah.
Majlis antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan guru agama yang hadir ke arah mengukuhkan semangat perpaduan dalam sama-sama melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa demi mencapai hasrat negara.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan oleh guru-guru perempuan dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada guru-guru yang telah bersara dan guru yang banyak menyumbang dalam aktiviti-aktiviti sekolah agama yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.




