Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 hadiri majlis khatam anjuran PGGMB

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Persekutuan Guru- Guru Melayu Brunei (PGGMB) tidak ketinggalan untuk sekali lagi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi warga dan kakitangan PGGMB 2025 yang berlangsung di Bangunan PGGMB hari ini.

    Majlis yang merupakan aktiviti tahunan Bahagian Agama dan Kebajikan PGGMB bertujuan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran warga PGGMB celik dan berkemahiran dalam membaca Al-Quran.

    Ia juga bertujuan untuk mengimarahkan bulan suci Ramadan dan mengingati kebesaran dan keagungan Al-Quran serta mengeratkan silaturahim di kalangan warga PGGMB.

    Majlis berkenaan dihadiri oleh lebih daripada 100 ahli PGGMB di samping kehadiran ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin; Naib Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Badar bin Haji Md Ali dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB, Jawatankuasa Tadbir PGGMB serta kakitangan PGGMB.

    Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Badar dan diikuti bacaan Khatam dimulakan oleh peserta khatam, bacaan Takhtim dan seterusnya bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin olah Pengarah Agama PGGMB, Ustaz Haji Rosli bin Haji Md Salleh selain persembahan Dikir Marhaban dan Doa Selamat yang turut diadakan.

    Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri menyeru dan menyarankan supaya penglibatan warga PGGMB dalam acara berkebajikan berkenaan akan terus meningkat dari tahun ke tahun di samping mengasah kemahiran dan kelancaran dalam membaca dan memahami isi, pengajaran dan keagungan Al-Quran.

    YB Dr Haji Mahali dan Haji Badar hadir menyertai majlis berkenaan.
    Gambar ramai antara yang menyertai majlis berkenaan.
    Antara peserta wanita yang hadir ke majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda