Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 FEB – Bagi memupuk semangat patriotisme, lebih 100 penunggang motosikal di seluruh negara telah berkumpul di sepanjang Jalan Sungai, Kuala Belait bagi menyertai perjalanan jarak jauh dari Daerah Belait ke Temburong sebagai sebahagian daripada Patriotic Expedition Ride yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) dan Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB) baru-baru ini.
Hadir sebagai tetamu kehormat bagi melepaskan para penunggang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman. Beliau disambut oleh Presiden PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad, yang turut diiringi oleh Pegawai Khas Gred II di Pejabat Setiausaha MTMIB, Awang Rushdi bin Haji Abdul Rahman.
Selepas berkumpul di dewan Hotel V-Plaza, Kuala Belait, tetamu kehormat menyerahkan bendera kebangsaan kepada presiden PEMODA yang dikibarkan dengan bangga sepanjang perjalanan mereka ke Daerah Temburong.
Majlis tersebut kemudian disambung dengan nyanyian lagu patriotik, ‘Berkibarlah Bendera’ yang disertai dengan pengibaran bendera kebangsaan. Sebagai tanda penghargaan, PEMODA dan MTMIB telah memberikan cenderamata kepada tetamu kehormat.
Setelah sesi taklimat keselamatan diberikan, para penunggang berkumpul di hadapan motosikal mereka yang tersusun di sepanjang Jalan Sungai, sebelum konvoi dilancarkan oleh tetamu kehormat.
Konvoi kemudian melanjutkan perjalanannya ke destinasi terakhir di dermaga Pekan Bangar, Temburong, di mana mereka disambut oleh ahli MMN dan Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.