Lebih 100 mercun dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dari Balai Polis Bangar, kelmarin berjaya merampas sejumlah 100 kotak mercun jenis 3388 dan 10 kotak mercun jenis 8888 Happy Boom Firecracker di persimpangan Jeti Tambatan, Kampung Bokok, Temburong.

Dalam kejadian pada 12 Januari sekitar jam 8 malam, melalui langkah pemantauan pencegahan jenayah dijalankan anggota balai di kawasan Kampung Bokok, mendapati seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda keluar dari persimpangan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Peronda bertugas segera membuat penahanan ke atas pemandu dan setelah pemeriksaan dijalankan, anggota peronda PPDB menemui sejumlah bungkusan kotak berisi barangan tegahan berupa mercun. Pemandu dan kenderaan serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati lelaki tersebut tidak bekerja.

Sehubungan dengan itu, PPDB menegaskan bahawa barangan tegahan seumpamanya adalah dilarang sama sekali kerana ianya menjurus kepada kemaslahatan orang awam dan boleh mengundang bahaya dalam bentuk kecederaan tubuh badan, kerosakan harta benda dan kebakaran.

Orang ramai juga diingatkan seperti mana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58 di Negara Brunei Darussalam menyekat import mercun, bunga api dan sebagainya dan juga tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki mercun atau bunga api yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan serta berdepan dan hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Mercun yang berjaya dirampas dalam pemeriksaan ke atas kereta pacuan empat roda di persimpangan Jeti Tambatan, Kampung Bokok, Temburong. – Gambar serahan PPBD