Monday, February 10, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 pelajar Kuala Belait meriahkan Hari Kebangsaan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 23 Feb – Seawal kira-kira pukul 5 pagi dalam keadaan hujan, lebih 100 orang pelajar Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar sudah berkumpul di sekolah untuk menaiki bas menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun 2017, hari ini.

    Sekolah tersebut telah terpilih oleh Jawatankuasa Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini untuk menyertai dua bahagian iaitu Persembahan Frame di padang dan perbarisan yang mana mereka telah menghantar seramai 106 orang pelajar bagi persembahan padang dan 100 orang guru bagi penyertaan perbarisan.

    Dalam temu bual bersama Media Permata, Ketua Kegiatan Luar Ko-Kurikulum Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar dan juga selaku penyelaras kontinjen sekolah bagi Hari Kebangsaan tahun ini, Haji Mohd Yura Faizal bin Haji Mohd Yussof memberitahu, mereka telah mengadakan latihan sejak minggu kedua Februari.

    Menurutnya, latihan diadakan setiap Isnin hingga Khamis, bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi manakala itu pada sebelah petang pula diadakan latihan kawad untuk penyertaan perbarisan di hari kemuncak sambutan.

    “Semua persiapan telah dibantu oleh Unit Kenderaan dan juga Jawatankuasa Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan dengan menghantar beberapa orang pelatih bagi Persembahan Frame Padang dan juga menghantar pegawai dari Batalion Ketiga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) untuk latihan kawad,” katanya.

    Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar, yang datang awal, sementara menunggu rakan-rakan lainnya, sebelum bertolak ke Bandar Seri Begawan awal pagi tadi.
    Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar, yang datang awal, sementara menunggu rakan-rakan lainnya, sebelum bertolak ke Bandar Seri Begawan awal pagi tadi.

    Beliau menjelaskan, sekolah tersebut menyertai bahagian perbarisan pada setiap tahun, bagaimana bahagian persembahan mereka terpilih selepas dua tahun penyertaan yang lalu.

    Ditanya pandangannya mengenai tema sambutan tahun ini, beliau berkata, adalah penting bagi segenap rakyat di negara ini untuk bekerja keras bagi sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    “Mungkin belum ramai yang memahami tentang Wawasan Brunei 2035 dan sebagai rakyat negara ini, kita perlu sama-sama melibatkan diri memahaminya dan cuba sedaya  mungkin untuk menyumbang ke arah merealisasikannya dalam aspek mana sekalipun dalam kehidupan mereka, terutama sekali kepada para pelajar, mereka perlu lebih menanamkan semangat tekun dalam memajukan diri bagi mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran,” ujarnya.

    Sementara itu, salah seorang pelajar Tahun 9 sekolah berkenaan yang menyertai Persembahan Frame Padang, Dayang Situ Nur Afiqah binti Abdul Rashid, 14, melahirkan rasa sangat gembira dan teruja kerana terpilih sebagai salah seorang pelajar yang menyertai persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

    Katanya, tema sambutan ini sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat sebagai pelajar dan belia aset negara untuk meningkatkan ketekunan dalam mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan bagi mencapai hasrat kerajaan yang mahu menjadikan rakyat dan penduduk di negara ini berilmu dan intelektual.

    Seorang lagi pelajar, Awang Harith Martin bin Ahmad Daud, 14, juga melahirkan rasa gembira dan teruja di mana menurutnya beliau rasa sangat berbangga dan ini merupakan kali pertama terlibat menyertai acara Sambutan Hari Kebangsaan di hari kemuncaknya.

    “Penglibatan kami sebagai pelajar sekolah ini diharapkan akan dapat memberikan semangat kepada pelajar lainnya untuk tidak mahu ketinggalan dalam penyertaan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun-tahun akan datang.

    “Bangun awal pagi untuk dapat berkumpul dengan kawan-kawan lain hari ini, bukanlah penghalang untuk kami terus bersemangat, walaupun dalam keadaan hujan turun sejak awal pagi tadi,” katanya.

    Beberapa orang ibu bapa yang sempat ditemui juga melahirkan rasa gembira dengan penglibatan anak-anak mereka menyertai persembahan padang dan sejak latihan diadakan mereka terus memberikan sokongan kepada anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak terlewat menghantar anak-anak untuk sampai ke sekolah pada masa yang telah ditetapkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda