Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 pelarian Rohingya mendarat di barat Indonesia

    BANDA ACEH, 1 FEB – Sebuah bot yang dipercayai membawa lebih 100 pelarian Rohingya mendarat di wilayah paling barat Indonesia hari ini, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebahagian daripada kemasukan terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015.

    Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya dengan teruk di Myanmar, dan beribu-ribu orang mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan mahal, selalunya dalam bot usang, untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.

    Rakan sekutu perlindungan Agensi Pelarian PBB, Faisal Rahman, mengesahkan kepada AFP pendaratan berlaku hari ini di pantai perkampungan Kuala Parek di Aceh Timur.

    Beliau berkata jumlah sebenar pelarian ‘masih perlu disahkan’ tetapi pihak berkuasa tempatan menganggarkan jumlah itu ialah 137 orang.

    Dari pertengahan November hingga akhir Januari, 1,752 orang pelarian yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak telah mendarat di wilayah Aceh dan Sumatera Utara di Indonesia, menurut agensi PBB.

    Beberapa bot telah ditolak semula ke laut kerana sentimen terhadap kumpulan minoriti itu beralih di kawasan ultra konservatif Indonesia.

    Ramai orang Aceh, yang mempunyai ingatan tentang konflik berdarah selama berpuluh tahun, bersimpati dengan nasib saudara sesama Islam mereka. – AFP

    Pelarian Rohingya yang baru tiba berehat selepas mendarat di pantai di Kuala Parek di Aceh Timur pada 1 Februari. –AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda