KUALA LUMPUR, 2 FEB – Lebih 100 pelarian Rohingya melarikan diri dari pusat tahanan di Malaysia selepas rusuhan berlaku, di mana seorang lelaki maut selepas dilanggar kenderaan di lebuh raya ketika dia melarikan diri, kata polis hari ini.
Rohingya mengalami penganiayaan di tanah air mereka yang majoritinya beragama Buddha, di mana ramai yang melarikan diri ke Malaysia yang mempunyai penduduk yang majoritinya Islam atau kem pelarian di Bangladesh.
Mereka sering mengalami perjalanan laut yang mengerikan selama berbulan-bulan untuk tiba di Malaysia dengan bot atau menyelinap masuk ke negara itu melalui sempadan bersebelahan dengan Thailand.
Jika tertangkap, mereka akan dihantar ke pusat tahanan yang menurut kumpulan hak asasi manusia biasanya terlalu sesak dan kotor.
Seramai 115 pendatang Rohingya dan 16 yang lain kesemuanya lelaki telah membuat rusuhan di bangunan tahanan mereka sebelum melarikan diri dari ibu pejabat imigresen sementara Bidor di utara negeri Perak lewat kelmarin, ketua polis tempatan, Mohamad Naim Asnawi mengesahkan kepada AFP.
“Polis dan pegawai dari agensi lain sedang mencari tahanan yang hilang,” kata Naim.
Beliau berkata seorang pelarian yang tidak dikenali telah terbunuh di lebuh raya Utara-Selatan selepas dirempuh oleh kenderaan yang lalu dalam keadaan gelap.
Polis berkata punca rusuhan dan pecah keluar bangunan sedang disiasat.
Lebih 100,000 Rohingya hidup di pinggir masyarakat di Malaysia, bekerja secara haram dalam pembinaan dan pekerjaan lain yang bergaji rendah. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P11-3C_03022024.jpg)