BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Lebih 100 individu telah menyertai kempen derma darah anjuran Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dengan kerjasama Pusat Derma Darah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Kempen tersebut diadakan bersempena dengan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025 dan ia juga merupakan sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SHENA terhadap kesihatan dan keselamatan awam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SHENA, kempen tersebut juga bertujuan untuk menyelamatkan nyawa, selain meningkatkan kesihatan serta menambah bekalan darah
negara.
Kempen tersebut bukan sahaja sebagai platform untuk menderma darah, tetapi juga sebagai peringatan yang kuat tentang bagaimana satu tindakan yang mudah boleh membuat perubahan yang menyelamatkan nyawa.
Inisiatif itu menekankan nilai teras pemedulian, keselamatan dan khidmat masyarakat SHENA, yang melangkaui tanggungjawab kawal selianya.
SHENA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Derma Darah, Kementerian Kesihatan, atas kerjasama dan dedikasi yang diberikan, serta kepada semua penderma yang telah menyumbang dalam menjayakan kempen berkenaan.
Melalui inisiatif seperti ini, SHENA kekal teguh dalam komitmennya dalam memupuk budaya keselamatan, kesihatan dan kemanusiaan demi kebaikan bersama.