Tuesday, February 25, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 sertai riadah walkaton sempena HK-41

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Lebih 100 orang menyertai aktiviti riadah walkaton kali pertama anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, hari ini.

    Walkaton diadakan di Taman Rekreasi 1, Jalan Kamangsi RPN Meragang itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan perempuan berjalan sejauh 1.9 kilometer, manakala kumpulan lelaki berjalan sejauh 2.4 kilometer.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan aktiviti walkaton berkenaan, Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Awang Mohamad bin Haji Tamin yang juga Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Meragang.

    Sementara itu, Ketua Penyelaras Aktiviti MPK Kawasan 1, Awang Muhamad Ali bin Hassan ketika ditemui antara lain mengongsikan tujuan aktiviti tersebut adalah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-41 (HK-41).

    Di samping itu, ia juga menanamkan sikap pentingnya kesihatan dalam setiap individu dengan pengisian aktiviti-aktiviti riadah yang bermanfaat seperti berjalan kaki, bersukan, berenang, memanah dan sebagainya.

    “Selain itu, ia menyatupadukan penduduk kampung Kawasan 1 dan 2 dalam memajukan RPN Meragang dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan bersifat kejiranan ke arah matlamat untuk melahirkan Komuniti Bersatu, Kejiranan Harmoni,” jelasnya.

    Katanya lagi, “Acara ini juga menanamkan semangat patriotik kepada warga penduduk RPN Meragang khususnya Kawasan 1 dan 2, agar dapat menjiwai perasaan kesedaran bernegara dalam memikul tanggungjawab untuk memajukan Negara Brunei Darussalam melalui peranan komuniti dan kejiranan kampung dalam menyahut tema Hari Kebangsaan yang ke-41 tahun pada tahun ini iaitu Bersatu Mencapai Cita Negara.”

    Sebelum acara pelancaran walkaton dimulakan, sesi pemanasan badan terlebih dahulu diadakan yang telah dipimpin oleh Awang Muhamad Ali.

    Pelancaran aktiviti riadah walkaton kali pertama anjuran MPK Kawasan 1 RPN Meragang. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda