Monday, November 18, 2024
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 warga asing jalani hukuman mati

    DUBAI, 17 NOV – Arab Saudi telah melaksanakan hukuman mati terhadap lebih 100 warga asing sepanjang tahun ini, berdasarkan kiraan terkini oleh AFP yang menunjukkan peningkatan mendadak yang dikatakan oleh sebuah kumpulan hak asasi sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

    Hukuman mati terkini kelmarin melibatkan seorang warga Yaman yang disabitkan kesa-lahan menyeludup dadah ke wilayah Najran, lapor agensi berita Saudi (SPA) yang rasmi.

    Jumlah tersebut menjadikan seramai 101 warga asing telah dihukum mati setakat ini, berdasarkan data yang diperoleh daripada laporan media kerajaan.

    Angka itu hampir tiga kali ganda berbanding 2023 dan 2022, di mana pihak berkuasa Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap 34 warga asing setiap tahun.

    Organisasi Hak Asasi Manusia Eropah-Saudi (ESOHR) yang berpusat di Berlin menyatakan bahawa angka hukuman mati tahun itu telah memecahkan rekod.

    Gambar Freepik

    “Inilah jumlah hukuman mati warga asing tertinggi dalam satu tahun. Arab Saudi tidak pernah menghukum mati 100 warga asing dalam setahun,” kata Taha al-Hajji, pengarah undang-undang organisasi tersebut.

    Arab Saudi sering dikecam atas penggunaan hukuman mati yang dianggap berlebihan oleh kumpulan hak asasi manusia, bertentangan dengan usaha kerajaan untuk memperbaiki imejnya yang ketat dan menarik pelancong serta pelabur antarabangsa.

    Kerajaan yang kaya minyak itu mencatat jumlah hukuman mati ketiga tertinggi di dunia selepas China dan Iran pada 2023, menurut Amnesty International.

    Pada bulan September, AFP melaporkan bahawa Arab Saudi telah melaksanakan jumlah hukuman mati tertinggi dalam lebih tiga dekad, melepasi rekod sebelumnya iaitu 196 pada 2022 dan 192 pada 1995.

    Hukuman mati berterusan pada kadar yang pesat sejak itu, dengan jumlah keseluruhan mencapai 274 kes setakat hari ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda