Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 warga emas rai IDOP

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 11 NOV – Lebih 160 warga emas dari seluruh kawasan pedalaman Daerah Belait meraikan Hari Warga Emas Antarabangsa (IDOP) tahunan yang diadakan kelmarin di kawasan sekitar Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Kehadiran beliau bersama warga emas dan tetamu lainnya telah dialu-alukan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman yang juga Penghulu Mukim Bukit Sawat; dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.

    Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh menekankan tentang pemerkasaan warga emas yang merupakan keutamaan bagi kelestarian masa depan negara. “Apa yang pasti warga emas berhak menikmati hak sama rata tanpa mengira latar belakang, melalui sokongan dari segi penjagaan kesihatan, kebajikan dan sosioekonomi.

    Sambutan ini adalah salah satu platform yang bertujuan untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada warga emas terutamanya mereka yang tinggal di Mukim Bukit Sawat,” tambahnya.

    Haji Amirol Hafidzin semasa menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada salah seorang warga emas pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Amirol Hafidzin bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Selaras dengan tema IDOP tahun ini iaitu Penuaan Bermaruah: Kepentingan Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas Seluruh Dunia, beliau berharap warga emas akan terus proaktif dan bersemangat dengan sumbangan berbentuk buah fikiran serta nasihat yang boleh diberikan dalam pembangunan dan pertumbuhan negara.

    “Ini juga boleh termasuk aktif dalam pelbagai aktiviti bermula dari keagamaan, pendidikan, sosial, dan sosioekonomi, pada masa yang sama menjaga kesihatan mereka dengan membudayakan serta mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya lagi.

    Yang Berhormat Haji Mohd Salleh turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada para penaja sambutan tersebut antaranya Chai Yum Fatt dari Asia Enterprise; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, serta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Bukit Sawat.

    Susulan ucapan beliau, acara diteruskan dengan penyerahan cenderahati kepada warga emas yang hadir bagi memeriahkan lagi suasana majlis tersebut.

    Selain itu, beberapa anugerah turut disampaikan kepada warga emas terpilih yang telah meraih pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu.

    Ini termasuk Haji Mohd Hassan bin Opak kerana menjadi warga emas tertua dalam kalangan hadirin iaitu berusia 93 tahun, manakala Awang Mohd Azman bin Abdullah dan Awang Asrat bin Amit kedua-duanya menerima anugerah warga emas paling aktif.

    Sementara itu, Dayang Siti Rasinah binti Abdullah Beniu dan Awang Sulong bin Nangkat masing-masing menerima anugerah sebagai warga emas paling sihat. Sementara itu, Awang Mohd Husaini bin Haji Bolhassan dan Haji Zunaidi bin Teradi pula menerima anugerah paling berjasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda