JAKARTA, 27 Feb – Lebih 1,000 hektar kawasan hutan dilaporkan terbakar sejak Januari lepas di provinsi Riau, Sumatera, yang menyebabkan berlakunya jerebu dan memburukkan lagi keadaan cuaca panas ketika ini.
Menurut data Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, kebakaran hutan sejak Januari hingga hari ini meliputi kawasan seluas 1,136 hektar.
Kebakaran hutan di Pulau Sumatera itu bukanlah perkara baharu dan berlaku setiap tahun akibat cuaca panas, selain pembakaran pihak tertentu bagi tujuan pertanian sehingga menyebabkan jerebu yang turut menjejaskan negara lain seperti Malaysia dan Singapura sebelum ini.
Menurut laporan agensi berita Antara, pihak berkuasa Indonesia kini bertungkus lumus memadamkan kawasan kebakaran yang masih berlaku di provinsi Riau itu termasuk menggunakan helikopter pengebom air.
Sementara itu, berdasarkan data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia hari ini, pergerakan angin dengan kelajuan 10 hingga 27km sejam dari timur ke arah timur laut Sumatera dibimbangi akan membawa asap dan jerebu dari provinsi Riau ke kawasan lain. – Bernama