Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Lebih 1,000 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), belia dan muslimah masjid serta penuntut telah menjayakan Majlis Perhimpunan Khas Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 Tahun 1439H/2018M bagi Warga KHEU, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pemangku Pengarah Pentadbiran KHEU, Awang Sofian bin Haji Basri selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menyentuh mengenai tayangan video klip kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perkhidmatan agama.
Tayangan video itu juga pernah ditayangkan semasa Majlis Ilmu 2017 sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-71 tahun sebagai salah satu cara bagi menyampaikan maklumat daripada pameran tersebut.
Awang Sofian berkata, perhimpunan khas ini juga diisikan dengan penyampaian rumusan dan resolusi sesi World Cafe yang telah diadakan pada 26 Februari lalu sebagai salah satu aktiviti untuk perhimpunan khas sempena Hari Kebangsaan dengan tema ‘Mensyukuri Kemerdekaan’.

Beliau menjelaskan istilah World Cafe adalah satu kaedah perbincangan sistematik dengan suasana santai dan kondusif bagi mewujudkan rangkaian dialog kolektif antara kumpulan berdasarkan topik perbincangan yang kritikal.
“Objektif World Cafe ini adalah untuk mendengar serta menghimpunkan sumbang saran pegawai KHEU secara tertib dan teratur bagi memantapkan perkhidmatan agama dan menggalakkan penglibatan setiap lapisan warga KHEU.
“Ia juga diadakan bagi mewujudkan saluran komunikasi berterusan dan terbuka agar objektif dan fokus kementerian sentiasa jelas dan terarah bagi mencapai kehendak wawasan 2035 yang juga bersesuaian dengan tema sambutan hari kebangsaan tahun ini iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’,” jelas Awang Sofian.
Menurut beliau lagi, lebih kurang 35 orang pegawai Bahagian II dan III di KHEU telah dipilih bagi mewakili setiap unit di bawah jabatan masing-masing bagi mengemukakan laporan masing-masing.
“Adalah diharapkan laporan, rumusan dan resolusi yang akan disampaikan mendatangkan manfaat bukan sahaja bagi warga kementerian bahkan juga kepada kumpulan sasar yang lainnya,” tambahnya.
Selepas deklamasi sajak yang disampaikan oleh Haji Jaya bin Haji Metussin, majlis menyaksikan penyampaian rumusan dari sesi World Cafe bagi lima fungsi utama KHEU oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah sebelum diserahkan kepada Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof.
Dapatan daripada sesi World Cafe telah dirumuskan kepada lima program iaitu Pengurusan dan Pentadbiran, Penyebaran Dakwah dan Syiar Islam, Perundangan Islam, Keselamatan Sosial serta Pendidikan Islam.