Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Ekspo Pendidikan Yes2Malaysia 2025 mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung yang berminat melanjutkan pengajian di Malaysia.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Education Malaysia Global Assist (EMGA) itu menghimpunkan wakil rasmi dari universiti-universiti terkemuka di Malaysia yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menawarkan khidmat kaunseling percuma, maklumat biasiswa, serta peluang membuat permohonan terus di tempat acara.
Hadir semasa acara yang diadakan di Hotel Mulia berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan.
Pameran berkenaan menerima kunjungan daripada pelajar lepasan sekolah menengah hinggalah kepada golongan profesional yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah.
Mereka menerokai pelbagai pilihan pengajian, termasuk Pra-Universiti, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).


Para pengunjung turut memanfaatkan tawaran pengecualian yuran permohonan universiti dan visa pelajar, yang menjadikan impian untuk belajar di Malaysia lebih mudah dicapai.
Ramai yang hadir lengkap dengan dokumen akademik, membolehkan mereka memulakan proses permohonan secara langsung di acara tersebut.
Para pelajar juga berpeluang berbincang secara bersemuka dengan wakil universiti bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai syarat kemasukan, biasiswa dan laluan ke universiti perubatan.
Pelajar yang telah membuat pra-pendaftaran ke universiti tertentu turut membawa pulang hadiah seperti tiket penerbangan percuma, pengecualian yuran permohonan, pengecualian yuran visa dan gajet elektronik.

