Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 masuk Thailand selepas pusat penipuan siber diserbu

    BANGKOK, 24 OKT – Lebih 1,000 individu, kebanyakannya warga China, dilaporkan melarikan diri dari Myanmar ke Thailand minggu ini selepas pihak tentera Myanmar menyerbu salah sebuah pusat penipuan siber terbesar di negara itu, menurut pihak berkuasa Thailand, hari ini.

    Hab penipuan siber yang meluas, di mana sindiket menipu mangsa melalui penipuan dalam talian, telah berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar yang sukar dikawal sepanjang tempoh perang saudara berlarutan di negara itu.

    Walaupun sebahagian pekerja ditipu dan diseluduh ke kawasan dikawal ketat tersebut, pakar mengatakan ada juga yang bekerja secara sukarela kerana ingin memperoleh pendapatan tinggi daripada industri haram bernilai berbilion dolar itu.

    Kira-kira 40 orang yang telah meninggalkan kawasan penipuan KK Park, termasuk Taiwan dan lain-lain dari beberapa negara Afrika, menaiki bot kecil menyeberangi sungai Moei ke Thailand hari ini, beritahu pegawai tempatan.

    Video yang diterbitkan oleh AFP menunjukkan anggota keselamatan Thailand menunggu di seberang sungai dan menggeledah bagasi dan dokumen mereka sementara orang ramai menyerahkan telefon bimbit mereka dan memasukkannya ke dalam trak.

    Pejabat wilayah Tak di Thailand memaklumkan seramai 1,049 orang telah menyeberang dari Myanmar ke daerah Mae Sot antara Rabu hingga hari ini, meningkat dari 677 orang yang melarikan diri dari KK Park setakat pagi kelmarin.

    Mereka terdiri daripada warga India, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Thailand serta lebih daripada 12 negara lain, menurut kenyataan pejabat tersebut.

    Biro Imigresen Thailand pula menjelaskan kebanyakan pelarian berkenaan ialah lelaki warga China. – AFP

    Individu dari pelbagai negara menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Moei dari Myanmar ke Thailand, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda