Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 maut dalam kejadian tanah runtuh di Sudan

    KHARTOUM, 2 SEPT – Sebuah kejadian tanah runtuh besar di wilayah Darfur barat Sudan telah meranapkan sebuah kampung di gunung dan mengorbankan lebih 1,000 orang.

    Bencana itu berlaku pada Ahad selepas beberapa hari hujan lebat, memusnahkan kampung Tarasin di kawasan Jebel Marra, kata Sudan Liberation Movement/Army (SLM) yang dipimpin Abdulwahid al-Nur dalam satu kenyataan.

    “Maklumat awal menunjukkan kematian semua penduduk kampung, dianggarkan lebih 1,000 orang, dengan hanya seorang terselamat,” kata kumpulan itu, menggelar tanah runtuh itu sebagai “besar dan memusnahkan”.

    Kumpulan tersebut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan lain untuk membantu mengeluarkan mayat yang masih terkubur di bawah lumpur dan serpihan.

    Imej yang dikongsi SLM di media sosial menunjukkan sebahagian besar lereng gunung runtuh, menimbus kampung di bawah lumpur tebal, pokok yang tercabut dan balak yang hancur.

    Gabenor Darfur yang menyokong tentera, Minni Minnawi, menggelar tanah runtuh itu sebagai “tragedi kemanusiaan yang melampaui sempadan wilayah”.

    “Kami menyeru organisasi kemanusiaan antarabangsa campur tangan segera dan memberikan sokongan serta bantuan pada saat kritikal ini, kerana tragedi ini lebih besar daripada apa yang mampu ditanggung rakyat kami seorang diri,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kebanyakan kawasan Darfur termasuk tempat tanah runtuh berlaku, masih sukar diakses oleh badan bantuan antarabangsa akibat pertempuran berterusan, sekali gus mengehadkan penghantaran bantuan kemanusiaan penting.

    Bencana ini berlaku semasa musim hujan Sudan, yang kerap menjadikan jalan gunung dan kawasan terpencil tidak boleh dilalui.

    Hujan lebat berterusan menyukarkan lagi usaha badan kemanusiaan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan, terutama di kawasan konflik seperti Darfur yang infrastruktur sudah rapuh atau tiada. – AFP

    Gambar fail ini menunjukkan jalan yang rosak akibat tanah runtuh selepas hujan lebat dan banjir kilat, di bandar Umm Dawan Ban, Khartoum pada 2 Ogos 2020. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda