Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 orang terjejas akibat penyakit berkaitan haba

    SEOUL, 9 JULAI – Lebih 1,000 orang terjejas akibat penyakit berkaitan haba di Korea Selatan, kata pegawai hari ini, ketika negara itu merekodkan suhu tertinggi awal bulan Julai sejak rekod bermula.

    Amaran gelombang haba telah dikeluarkan dan kerajaan bandar Seoul hari ini berkata suhu melampau adalah ‘bencana’ yang menimbulkan ancaman kepada kehidupan orang ramai.

    Lebih 1,200 orang di Korea Selatan telah mengalami penyakit berkaitan haba sejak 15 Mei, dengan lapan kematian dilaporkan, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.

    Menurut data itu lagi, angka tersebut menandakan peningkatan mendadak daripada tempoh yang sama tahun lepas, apabila 486 kes dan tiga kematian direkodkan.

    Tambahnya, seramai 238 orang telah dimasukkan ke bilik kecemasan di seluruh negara itu kelmarin selepas mengalami keadaan berkaitan haba.

    Seoul berkata ia akan mengutamakan pencegahan kematian melalui pemeriksaan yang lebih ketat dan langkah yang dipertingkatkan.

    Menurut agensi cuaca kebangsaan, kelmarin suhu mencecah 37.8 darjah Celsius, menandakan hari paling panas awal Julai di ibu negara Korea Selatan sejak rekod bermula 117 tahun lalu.

    Korea Selatan tahun lalu mengalami purata suhu musim panas tertinggi sejak rekod sedemikian bermula 50 tahun lalu – hampir dua darjah lebih tinggi daripada purata bersejarah, menurut agensi cuaca. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda