Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Dengan bertunjangkan dasar utama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan)bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan, Yayasan menyampaikan sumbangan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan kepada seramai 1,336 orang pelajar hari ini.
Sumbangan kepada 813 orang murid sekolah rendah dan 523 orang pelajar sekolah menengah dari sebanyak 493 buah keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara itu adalah bagi sesi persekolahan 2020.
Sumbangan dalam bentuk kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan berkenaan disampaikan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan dan Keperluan Persekolahan bagi Sesi Persekolahan Tahun 2020 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Kebangsaan, hari ini.
Ia disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan kepada para ibu bapa serta penjaga para pelajar itu.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.
Penyampaian sumbangan kupon bernilai $250 adalah bertepatan dengan matlamat strategik Yayasan dalam mendukung pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.
Sumbangan dihasratkan dapat memeduli kebajikan dan hal ehwal pendidikan para pelajar yang kurang berkemampuan dalam usaha mempertingkatkan motivasi mereka bagi meraih kecemerlangan dalam pendidikan.
Ia juga dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya bagi persediaan penggal awal persekolahan 2020.
