Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 penerbangan United Airlines ditangguhkan

    AMERIKA SYARIKAT, 7 OGOS – Masalah teknologi menyebabkan United Airlines menghentikan operasi pesawat di beberapa lapangan terbang utama di Amerika Syarikat (AS) kelmarin, sekali gus menyebabkan lebih 1,000 penerbangan mengalami kelewatan.

    Menurut United Airlines, sistem yang terjejas dikenali sebagai Unimatic, yang menyimpan maklumat penerbangan dan disalurkan kepada sistem lain termasuk yang digunakan untuk pengiraan berat dan imbangan serta penjejakan masa penerbangan.

    Punca gangguan masih belum dikenal pasti namun masalah tersebut berjaya diatasi lewat Rabu, meskipun beberapa gangguan berlanjutan sehingga hari ini.

    Satu amaran turut dikeluarkan di laman web Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), semua penerbangan United yang menuju ke Chicago dihentikan di lapangan terbang berlepas. Penerbangan ke hab United di Denver, Newark, Houston dan San Francisco turut terjejas.

    “Keselamatan adalah keutamaan kami, dan kami akan bekerjasama dengan pelanggan untuk memastikan mereka tiba ke destinasi masing-masing,” kata syarikat penerbangan yang berpangkalan di Chicago itu.

    Menurut kenyataan tersebut, gangguan sistem itu berlarutan selama beberapa jam dan tidak berkaitan dengan kebimbangan semasa mengenai keselamatan siber industri penerbangan.

    Berdasarkan data FlightAware, sebuah laman web yang menjejak gangguan penerbangan menyatakan kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan penerbangan syarikat itu ditangguhkan dan enam peratus lagi dibatalkan kelmarin.

    United Airlines turut memohon maaf di media sosial dan menyatakan dalam beberapa kes, mereka akan menanggung kos hotel dan perbelanjaan lain yang ditanggung penumpang akibat kelewatan tersebut.

    “Hi, kami memohon maaf atas gangguan perjalanan hari ini,” balas syarikat itu kepada salah seorang pelanggan di platform X. “Pasukan kami sedang berusaha menyelesaikan gangguan ini secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran anda.” – AP

    Sebuah pesawat United Airlines mula bergerak di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago, pada 29 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda