ISTANBUL, 20 NOV – Lebih seminggu selepas kempen imunisasi dilancarkan di Gaza, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memvaksin lebih 10,000 kanak-kanak, kata ketua agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu kelmarin, lapor agensi Anadolu (AA).
“WHO dan rakan-rakan telah memvaksin lebih 10,000 kanak-kanak berusia bawah tiga tahun di Gaza dalam lapan hari pertama kempen pelalian yang dilancarkan pada 9 November dan kini dilanjutkan sehingga Sabtu ini,” tulis Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform media sosialnya X.
Dia berkata kempen itu menyasarkan lebih 40,000 kanak-kanak bagi melindungi mere-ka daripada campak, beguk, rubela, difteria, tetanus, batuk kokol, hepatitis B, tuberkulosis, polio, rotavirus dan radang paru-paru.
Tedros menambah bahawa fasa kedua dan ketiga kempen itu dirancang untuk bulan depan dan seterusnya Januari 2026.
“Saya berasa lega kerana gencatan senjata terus dipatuhi, yang membolehkan WHO dan rakan-rakan meningkatkan perkhidmatan kesihatan penting di seluruh Gaza serta menyokong usaha melengkapkan semula dan membina semula sistem kesihatan yang musnah,” katanya.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengakibatkan hampir 70,000 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, lebih 170,000 cedera dan kebanyakan wilayah itu musnah sama sekali.
Dalam tempoh dua tahun berkenaan, serangan Israel turut menyasarkan kemudahan kesihatan, hospital dan petugas perubatan, yang berkemungkinan merupakan jenayah perang, serta memutuskan bekalan ubat dan peralatan perubatan, menyebabkan jutaan rakyat Palestin tidak dapat merawat penyakit dan kecederaan. – Bernama


