Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100,000 cedera masih berada di Gaza

    MOSCOW, 19 NOV – Lebih 100,000 orang yang cedera masih berada di Gaza ketika ini, dengan 17,000 daripadanya memerlukan pemindahan perubatan segera, kata Duta Palestin ke Austria merangkap Pemerhati Tetap ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Salah Abdel Shafi, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    Beliau berkata 17,000 mangsa itu perlu dipindahkan segera dari Gaza kerana tiada kemampuan untuk dirawat di wilayah berkenaan.

    Daripada 36 hospital yang wujud, hanya lapan masih beroperasi, manakala selebihnya musnah atau rosak teruk, katanya.

    Salah Abdel Shafi berkata bahawa Gaza berdepan kekurangan kritikal bekalan perubatan dan ubat-ubatan, selain infrastruktur tempatan yang turut musnah.

    Beliau sebelum ini berkata bahawa kira-kira 80 peratus Semenanjung Gaza telah musnah, dengan lebih sejuta penduduk kini tinggal di dalam khemah di jalanan.

    Pihak pentadbiran Gaza berkata Israel menghalang kemasukan keperluan asas seperti alat pemanas, bahan penebat, kabin sanitasi, khemah, tilam dan selimut.

    Dengan cuaca sejuk dan hujan, krisis semakin meruncing bagi 288,000 keluarga yang hidup dalam keadaan amat sukar.

    Pada awal November, pihak berkuasa Gaza berkata Israel hanya membenarkan 4,400 lori membawa makanan, bahan api dan barangan lain memasuki wilayah itu sejak gencatan senjata bermula, iaitu hanya sekitar 28 peratus daripada bantuan yang dipersetujui.

    Israel terus menyekat lebih 350 jenis makanan, termasuk daging, ikan, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan beberapa produk tenusu. – Bernama

    Lelaki Palestin membawa seorang wartawan selepas dilaporkan cedera akibat tindakan pasukan keselamatan Israel semasa protes oleh penduduk kem pelarian Nur Shams, berhampiran Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 18 November. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda