KOTA KINABALU, 2 Jan – Seramai 119,960 murid prasekolah dan Tahun Satu termasuk pelajar Tingkatan Satu hari ini memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di seluruh Sabah.
Pengarah Pendidikan negeri Datuk Maimunah Suhaibul berkata daripada jumlah itu seramai 45,558 adalah murid Tahun Satu dan 46,128 pelajar Tingkatan Satu.
“Sementara itu, seramai 28,274 adalah murid prasekolah. Sejumlah 1,291 prasekolah termasuk 17 yang diluluskan pembukaannya pada 2018 beroperasi di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sesi persekolahan pada keseluruhannya berjalan lancar melainkan dua sekolah rendah di negeri ini yang tidak dapat memulakan hari pertama persekolahan berikutan terputus jalan akibat banjir.
Dua sekolah rendah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Keramuak di Telupid, katanya. – Bernama