Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100,000 rumah di Korea Selatan dimiliki warga asing

    SEOUL, 30 MEI – Bilangan rumah yang dimiliki warga asing di Korea Selatan melepasi paras 100,000 buat pertama kali pada 2024, dengan warganegara China menyumbang lebih 56 peratus daripada jumlah itu, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

    Sehingga akhir tahun lepas, warga asing memiliki sebanyak 100,216 unit rumah di Korea Selatan, meningkat 5.4 peratus berbanding enam bulan sebelumnya, menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan negara itu.

    Rumah milik warga asing membentuk 0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan unit kediaman berdaftar di negara berkenaan, kata kementerian itu.

    Peratusan rumah milik warganegara China meningkat kepada 56.2 peratus atau 56,301 unit, berbanding 55.5 peratus pada akhir Disember dan 55 peratus pada akhir Jun.

    Warganegara Amerika Syarikat merupakan kumpulan kedua terbesar dengan pemilikan 22,031 buah rumah, bersamaan 22 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh warga Kanada dengan 6,315 unit atau 6.3 peratus.

    Kebanyakan unit kediaman milik warga asing itu terletak di dalam dan sekitar Seoul dengan Wilayah Gyeonggi mencatat peratusan tertinggi iaitu 39.1 peratus, diikuti Seoul (23.7 peratus) dan Incheon (10 peratus), menurut laporan itu. – Bernama/Yonhap

    Pemandangan bandar Seoul pada 2015. Perumahan di kawasan tersebut banyak dimiliki warga asing. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda