Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sejumlah 789 kilogram (kg) kertas, 106.3kg kadbod, 432.46kg botol plastik, 188.6 liter minyak masak terpakai dan 259 unit sisa elektrik dan elektronik atau e-waste telah berjaya dikumpulkan untuk dikitar semula hari ini.
Pengumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Hari Kitar Semula Senegara yang diadakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 di keempat-empat daerah.
Hari Kitar Semula Senegara telah diadakan di Pejabat JASTRe Anggerek Desa di Daerah Brunei dan Muara, Pejabat JASTRe cawangan Daerah Tutong, Pejabat JASTRe cawangan Daerah Belait dan Taman Muhibbah, Pekan Bangar di Daerah Temburong.
Inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan orang ramai untuk mempraktikkan amalan kitar semula, di samping memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan kitar semula yang terdapat di negara ini.
Selain itu, ia dikendalikan dengan kerjasama dan sokongan tiga buah syarikat kitar semula tempatan iaitu Imaa Maya Enterprise, Shaliz Waste Recycling dan Kawan Bumi Sdn Bhd.
Orang ramai bolehlah menghubungi JATRe untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kitar semula di talian 2241262 atau melayari laman sesawang www.env.gov.bn atau akaun Instagram @jastre.bn.