Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB) telah melancarkan 76 kali Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun 2022, hari ini.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Majlis turut diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran 75 kali Khatam yang diadakan buat kali ke-3 berturut-turut dianjurkan oleh pertubuhan tersebut.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah sebelum diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bersama para jemaah peserta khatam secara beramai-ramai.
Terdahulu, Yang Di-Pertua pertubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa program mulia yang mengagungkan Al-Quran berkenaan merupakan pesambah istimewa kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena dengan puja usia Baginda setiap tahun sejak tahun 2019.
Seramai 1103 peserta khatam yang mengambil bahagian dalam majlis khatam tersebut yang dibahagikan kepada 60 Halaqah di mana setiap Halaqah mengandungi 15 hingga 25 orang peserta yang bertujuan bagi memudahkan tasmik dan pembacaan secara berkumpulan dijalankan.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato antara lain menjelaskan bahawa program khatam Al-Quran ini merupakan satu inisiatif yang sangat signifikan kepada seluruh warga emas bagi meningkatkan lagi pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian kerana ia sangat sesuai di usia umur warga emas ini untuk meraih Mardhatillah atau keredhaan Allah SWT.
“Program ini juga dapat mengumpulkan para pembaca Al-Quran di seluruh negara untuk mengeratkan lagi silaturahim dan berkongsi pengalaman dalam pembacaan Al-Quran,” tambah Yang Berhormat Dato lagi.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian poster Selawat Tafrijiyyah sebelum ditutup dengan bacaan Doa Selamat dan Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.