Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 114 orang awam terbunuh di Sudan

    KHARTOUM, 13 APRIL – Menurut kenyataan seorang pegawai tempatan kelmarin, lebih daripada 114 orang awam telah dilaporkan terkorban dalam tempoh dua hari akibat serangan Pasukan Rapid Support Forces (RSF) ke atas dua kem pelarian di El Fasher, bandar wilayah Darfur Utara di barat Sudan.

    “Lebih 100 orang awam terbunuh akibat serangan kejam yang dilancarkan RSF ke atas kem pelarian Zamzam pada Jumaat, dengan puluhan lagi cedera.

    “Kelmarin, serangan lain turut dilancarkan ke atas kem pelarian Abu Shouk, mengorbankan 14 orang awam dan mencederakan ramai yang lain,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Darfur Utara, Ibrahim Khatir kepada Xinhua.

    Khatir turut mendedahkan antara mangsa yang terbunuh di kem Zamzam ialah sembilan kakitangan Relief International, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan hospital lapangan di kem berkenaan.

    Sementara itu, ‘Emergency Room’ merupakan sebuah organisasi sukarelawan melaporkan sebanyak 40 orang awam maut dan ratusan lagi cedera kelmarin, berikutan serangan oleh RSF ke atas kem Abu Shouk.

    Setakat ini, RSF masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan. – Bernama

    Gambar menunjukkan sebuah kubu sementara yang digali oleh orang awam sebagai tempat persembunyian di bandar Darfur Utara, El-Fasher, pada 13 April. -AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda