Lebih 130 anjing, kucing divaksin

TANJUNG MALIM, 19 Julai – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak menyuntik vaksin terhadap 65 ekor anjing dan 67 ekor kucing di Kuala Sepetang, Taiping setakat ini sebagai langkah mengekang penularan wabak penyakit anjing gila atau rabies di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon berkata JPV Perak juga mengambil lapan sampel daripada 48 anjing liar yang terpaksa dilupuskan di kawasan wabak itu untuk dianalisis di makmal Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh semalam.

“Hasil ujian lima daripada lapan sampel yang diambil daripada anjing-anjing di Kuala Sepetang didapati negatif Rabies hari ini.

“Hasil tiga lagi sampel yang dihantar malam tadi akan diketahui Jumaat ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Menangani Wabak Rabies Perak di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Dr Mah berkata semua pemilik anjing di kawasan mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama, yang diwartakan sebagai kawasan penyakit anjing gila, tidak dibenarkan membawa keluar haiwan peliharaan itu dari kawasan berkenaan.

“Tidak ada anjing yang boleh keluar atau masuk dalam kawasan wabak yang diwartakan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila berkuat kuasa 17 Julai.

“Bagi mana-mana individu yang hendak bawa keluar atau masuk (dalam kawasan wabak), mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak,” katanya. – Bernama