Lebih 1,300 saringan dijalankan bagi pemantauan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Dengan Negara Brunei Darussalam memasuki minggu ketiga pengurangan kawalan atau de-escalation yang bermula pada 1 hingga 5 Jun lalu, Kementerian Kesihatan telah melakukan sebanyak 1,396 saringan sampel bagi virus SARS-CoV-2 bagi tujuan pemantauan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini mengongsi statistik saringan pemantauan tersebut.

Menurutnya, saringan pekerja asing adalah sebanyak 426 sampel, saringan komuniti (community surveillance) sebanyak 489 sampel manakala saringan tambahan (expanded surveillance) seperti petugas-petugas barisan hadapan dan petugas-petugas pusat penjagaan kanak-kanak, pra sekolah dan pusat penjagaan warga emas sebanyak 481 sampel.

Beberapa hari lalu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa saringan sampel bagi guru-guru juga akan dibuat pada minggu akan datang.

Manakala mengenai aplikasi BruHealth pula, Yang Berhormat Dato mengongsi setakat ini sejumlah 281,969 orang telah mendaftarkan diri untuk menggunakan aplikasi tersebut manakala sebanyak 6,034 syarikat dan premis juga turut mendaftar.

Daripada jumlah itu, seba-nyak 1,532 restoran, 632 sekolah, 571 kedai runcit, 556 pejabat, 410 premis kerajaan, 265 gerai makanan, 173 gim, 305 kedai gunting atau salon rambut, 54 bengkel kereta, 51 kompleks membeli-belah, 69 pusat kesihatan dan klinik, 45 kelab rekreasi, 26 tempat ibadat, tujuh buah panggung wayang, 219 hospital, 224 untuk bawa pulang, sebuah stesen minyak, sebuah teksi, tiga buah dari Dart dan sebuah lagi kereta kongsi pandu, sembilan buah bas dan juga 790 lagi yang lain.

Yang Berhormat Dato turut menyeru kerjasama orang ramai dalam penggunaan BruHealth dan mengimbas kod QR aplikasi itu ketika masuk dan keluar dari premis dalam usaha memastikan keselamatan orang ramai termasuk peniaga dan pelanggan serta mempermudahkan Kementerian Kesihatan menjalankan pengesanan kontak jika berlaku sebarang jangkitan.